March 12, 2018

Warga emas hidup sebarang kara, terlantar kerana kanser

Bengkak dibahu Mohamed disahkan sejenis kanser.

CHENDERING - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Itulah yang boleh digambarkan selepas melihat kehidupan seorang warga emas yang hidup sebatang kara dan kini terlantar sakit di rumah pusakanya, di Kampung Batu Enam, Simpang Empat, Chendering.

Mohamed Abdullah, 73, yang tidak berkahwin dan tidak mempunyai adik beradik kini disahkan menghidap sejenis kanser di bahu, sudah tidak boleh menguruskan dirinya sendiri lagi dan hanya mampu terbaring seperti mayat hidup.

Jika dilihat dari mata kasar, keadaan Mohamed yang terlalu uzur itu memang tidak layak dan tidak patut dibiarkan sendirian.

Menurut pesara kerajaan ini, dia bagaimanapun bernasib baik kerana ada seorang sahabatnya yang sudah dianggap saudara sanggup berkorban menjaganya hari ini, meskipun dalam masa sama, terpaksa menjaga keluarganya.

Sahabat dikenali ‘Pak Din’ inilah yang sanggup menguruskan sepenuhnya kehidupan Mohamed termasuk memandikan, beri makan dan menjaga keperluan hariannya.

“Setiap hari ‘Pak Din’ akan datang dua kali iaitu pada waktu pagi dan petang untuk mandikan serta suapkan makan.

“Biasanya, sebelum dia hendak tinggalkan saya, dia akan pastikan saya dalam keadaan selesa termasuk lampin pakai buang yang dipakaikan bersih,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Mohamed berkata, dalam keadaan kesihatannya yang semakin terjejas, dia amat memerlukan satu tempat penjagaan agar dapat meneruskan kehidupan lebih baik.

“Kalau saya sihat memang tak boh (tak nak) duduk kat tempat lain kecuali rumah pusaka ini sebab saya memang biasa dah hidup seorang.

“Tapi sekarang saya tak boleh nak uruskan diri sendiri dah, hanya mampu terbaring dan saya tak sampai hati nak susahkan ‘Pak Din’ lagi,” katanya.

Katanya, disebabkan situasi kehidupan sekarang, dia juga terpaksa menangguhkan pembedahan meskipun tahu kanser itu akan cepat merebak.

“Macam mana saya nak suruh doktor bedah, siapa nak jaga saya sepanjang tempoh pemulihan itu,” katanya sayu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu Enam, Simpang Empat, Othaman Ibrahim berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang menguruskan penempatan Mohamed  di rumah pusat penjagaan di bawah seliaan JKM.

“Kita akan berusaha mempercepatkan urusan penempatan Mohamed,” katanya. - RUBIAH OMAR

12 Mac 2018

0 comments:

Post a Comment