March 12, 2018

'Sotong emas' celah nasi goreng

Mohd Arif bersama menu istimewanya yang menjadi tumpuan ramai.

Nasi goreng dengan 'sotong emas' merupakan air tangan isterinya, Suhana Muhammad.

MENU nasi goreng tiada yang luar biasa tetapi apa istimewanya kedai makan kecil di kampung Pantai, Seberang Pintasan sehingga menjadi tumpuan ramai.

Walau berada di pinggir bandar dan lokasinya tiada dalam 'google maps' tetapi tidak menghalang pelanggan dari segenap ceruk termasuk dari luar untuk merasa keenakan masakan di kedai milik Mohd Arif Abdullah, 44 yang juga Orang Kurang Upaya (OKU).

Nasi goreng hasil air tangan isterinya, Suhana Muhammad, 48 yang pada awalnya kurang mendapat sambutan tiba-tiba sahaja menjadi buruan.

Kata Mohd Ariff yang mengalami masalah penglihatan, tiada rahsia tetapi nasi goreng yang dimasak isterinya mendapat sambutan hangat apabila hidangan sedia ada diberi sentuhan baharu.

Menurutnya, seekor sotong besar dan segar yang digoreng rangup keemasan membuatkan nasi goreng biasa menjadi luar biasa.

“Saya dan isteri sudah lama berniaga hampir 10 tahun tetapi sebelum ini tiada nasi goreng sotong.

“Nasi goreng sotong  baru beberapa tahun diperkenalkan tetapi tiada sambutan.

“Tetapi cetusan idea untuk menukar resipi gorengan sotong yang pada awalnya digoreng kunyit biasa diubah kepada sotong goreng celup tepung menjadi.

“Tidak sangka pula ramai penggemarnya, malah pelanggan tetap semakin bertambah,” katanya kepada Sinar Harian.


Beratus pengunjung sehari

Kata bapa kepada seorang cahaya mata itu, pendapatannya bertambah berganda sejak nasi goreng sotong menjadi popular.

“Kami tidak jual mahal hanya RM 8.00 sepinggan dan ramai mengatakan harga itu murah.

“Kalau dulu pendapatan kasar harian hanya RM500 hingga RM600 sahaja tetapi sekarang mencecah RM1,000 sehari.

“Pelanggan juga tidak putus-putus datang dan kadang-kala terpaksa menunggu kerana tidak cukup kerusi.

“Beratus-ratus pengunjung hadir sehari semata-mata ingin menikmati nasi goreng sotong,” katanya.


Tawar pelbagai menu menyelerakan

Ariff berkata, bukan hanya menyediakan nasi goreng sotong tetapi pelbagai juadah lain boleh dipilih pelanggan.

“Kedai kami beroperasi pada jam 10.00 pagi tetapi menu nasi goreng sotong hanya dibuat bermula jam 2.00 petang hingga 10.30 malam.

“Jika tidak mahu nasi goreng sotong popular, boleh minta mee sup, nasi lemak, nasi minyak, mee udang dan pelbagai lagi.

“Setiap hari kami menggunakan 20 hingga 30 kilogram sotong segar dengan harga sekitar RM 20 hingga RM 30 sekilo mengikut harga pasaran untuk memenuhi permintaan pelanggan dan biasanya memang habis licin,” katanya.

Besar harapan lelaki ini supaya kedai kecil yang tiada nama itu dapat diperbesar dan lebih ramai pelanggan dapat menikmati keenakan dan kemanisan sotong segar yang menjadikan nasi gorengnya digilai ramai.

“Saya nak berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Dungun yang banyak membantu saya termasuk menyediakan kursus dan memberi bantuan untuk memajukan kedai ini.

“Jika ada modal dan bantuan dari mana-mana agensi, saya mahu memperbesarkan dapur supaya kerja memasak boleh dilakukan dengan lebih pantas,” katanya.


Jadi contoh untuk masyarakat

Manakala, Pegawai JKM Dungun, Mohd Naufal Yusoff berkata, pihaknya memberi sokongan penuh kepada Muhammad Ariff dan usahanya itu patut dijadikan contoh kepada orang lain.

“Kita berusaha membantu memajukan perusahaan milik lelaki ini dan kekurangan yang ada tidak sedikit menjadi penghalang.

“Mengenai keenakan nasi goreng sotongnya pula memang berhantu dan kalau rasa mesti mahu lagi.

“Kakitangan JKM juga antara pelanggan tetap di kedai ini,” katanya. - WARTAWAN SINAR HARIAN

12 Mac 2018

0 comments:

Post a Comment