March 12, 2018

Kecewa gambar arwah anak disalah guna


Kulai: Suami isteri kecewa apabila gambar arwah anak mereka yang meninggal dunia akibat kanser tulang, tahun lalu dimuat naik ke laman sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab dipercayai untuk mengutip dana secara mudah.

Malah Asmah Jamien, 46, berkata, ia kejadian kedua selepas kali pertama berlaku pada 5 Julai 2017 yang menggunakan akaun Facebook (FB) palsu atas nama sebuah akhbar tabloid Bahasa Melayu.

Menurutnya, arwah anaknya, Muhamad Aqil Adli Muhamad Zaki dikesan menghidap penyakit itu dua tahun lalu pada usia 12 tahun dan melawannya selama setahun serta sempat menjalani 12 kemoterapi dan 10 sesi radioterapi.

“Saya baru hendak melapangkan fikiran (selepas kehilangan permata hati) apabila tiba-tiba melihat gambar arwah digunakan untuk menipu dan mengaut keuntungan.

“Saya menyedarinya pada Rabu dan kali ini gambar arwah dimuat naik di akaun FB palsu menggunakan nama Berita Harian Online Malaysia.

“Ketika kejadian pertama dulu, gambar arwah disertakan rayuan derma untuk disalur atas nama Azman dengan nombor akaun bank yang tiada kaitan dengan keluarga kami. Kali ini, atas nama Puan Nurul pula,” katanya.

Asmah berkata, dia dan suaminya, Muhamad Zaki Mohd Nazam, 48, sudah bertanya hal itu kepada wakil Berita Harian, di sini dan mengesahkan akaun FB itu palsu.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya nombor akaun bank dan nama penderma milik kami. Ia tiada kaitan dengan keluarga kami dan saya mohon orang ramai supaya berhati-hati, tidak tertipu dengan kenyataan yang dimuat naik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, malam kelmarin.

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, mereka sudah membuat laporan polis berhubung kejadian pertama pada 5 Julai lalu, selain turut melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). - Mohd Fahmi Mohd Yusof

myMetro 12 Mac 2018

0 comments:

Post a Comment