March 12, 2018

Jumpa bayi dalam surau


BAYI lelaki baru dilahirkan ditemui dalam keadaan diselimutkan menggunakan kain putih dan sejadah di Surau al-Ibrahim, Garden Homes Fasa E, Seremban 2 di sini, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superitenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima laporan daripada saksi yang menemui bayi itu pada 6.56 pagi.

"Lelaki itu datang ke surau berkenaan untuk menunaikan solat Subuh sebelum menemui bayi itu yang masih hidup dan bertali pusat di ruang solat wanita.

"Bayi itu berbungkus dengan kain dan diselimutkan menggunakan sejadah. Tiada tanda pengenalan atau nota yang ditinggalkan pada bayi berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Katanya, bayi seberat 2.7 kilogram berkenaan yang berada dalam keadaan sihat dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi. - Ifwan Tun Tuah

myMetro 12 Mac 2018

0 comments:

Post a Comment