December 29, 2014

BANJIR: 18 jam berpaut pada pokok

MOHD Nazir (kiri) dan Mohd Zafirul selepas diselamatkan. FOTO Rosli Ilham

Dungun: Dua lelaki terpaksa berpaut 18 jam pada sebatang pokok sebelum ditemui pasukan penyelamat kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Mohd Nazir Mamat, 33, dan anak saudaranya, Mohd Zafirul Izhan, 19, dihanyutkan arus selepas bot gentian kaca dinaiki mereka terbalik, dalam kejadian di Kampung Padang Ping, Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), dekat sini, petang semalam.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Bandar AMBS, Imran Ismail berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan mengambil ahli keluarga mereka berikutan banjir di kampung berkenaan, kira-kira 6 petang.

"Dalam perjalanan, bot mereka terbalik dan kedua-dua mangsa dihanyutkan arus deras sebelum mereka sempat mencapai dahan dan berpaut pada sebarang pokok," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya yang menerima panggilan kira-kira 11 pagi ini, bergegas melancarkan gerakan mencari dan menyelamat membabitkan kekuatan 12 anggota dengan kerjasama polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Pasukan penyelamat menemui mangsa yang sedang berpaut pada sebatang pokok. Ketika ditemui, kedua-dua mangsa dalam keadaan tidak bermaya dan kesejukan.

"Kedua-dua mereka yang berpaut selama 18 jam pada pokok itu, kemudiannya dibawa ke Kampung Dendang dekat sini," katanya.

myMetro 29 Dis 2014


Kudrat maraton jururawat

MANGSA banjir sanggup tinggal di bawah jambatan Sultan Yahya Petra kerana tidak mahu berpindah ke pusat pemindahan yang sesak

MANGSA banjir memilih pakaian hasil sumbangan orang ramai yang dilonggokkan di bawah jambatan Sultan Yahya Petra. 

MANGSA banjir di Taman Guru berebut untuk mendapatkan bekalan makanan yang dihantar anggota tentera. 

Kota Bharu: “Hampir 10 hari saya bekerja tanpa henti dan tidur pun hanya lima jam sehari saja, tapi saya puas dapat membantu,” kata jururawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, Safinah Mohd Idris.

Safinah, 40, yang berkhidmat di Unit Rawatan Rapi Jantung (CICU) HRPZ II, di sini berkata, dia sanggup berkorban masa rehatnya berikutan banjir teruk di Kelantan yang menyukarkan rakan lain untuk bekerja.

Katanya, empat pesakit di unit itu yang memerlukan penjagaan rapi tidak memungkinkannya meninggalkan mereka apatah lagi dalam keadaan berkenaan.

“Ramai kakitangan tidak dapat bekerja kerana banjir, malah hospital juga terjejas kerana paras air meningkat hingga memasuki sebahagian wad di kawasan rendah.

“Rumah saya sendiri di Bunut Susu, Pasir Mas juga terjejas kerana laluan keluar masuk tenggelam. Disebabkan itu saya ambil keputusan untuk terus kekal di wad dan berkhidmat untuk mereka.

“Sukar itu memanglah sukar terutama apabila bekalan elektrik terpaksa dijimatkan kerana kami hanya menggunakan generator selain makanan tidak mencukupi, namun demi kesihatan pesakit, saya berkhidmat sedaya yang mungkin,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

Beliau berkata, semua pesakit di unit itu kekal di tingkat satu HRPZ II berikutan tidak bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

“Mereka tak guna mesin jadi masih boleh kekal di sini. Semua yang kronik dan perlukan mesin bantuan sudah dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sejak minggu lalu kerana khuatir bekalan kuasa ditutup,” katanya.

Safinah berkata, ada ketikanya dia terpaksa berkongsi memakan roti dengan pesakitnya disebabkan makanan mereka yang dihadkan bagi tujuan penjimatan.

Katanya, tidak merungut dengan perkara itu sebaliknya gembira melihat pesakitnya ceria.

Dalam pada itu, Pengarah HRPZ II Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata, beliau sudah meminta bekalan tambahan termasuk makanan daripada pusat kawalan operasi banjir dan pihak berkaitan bagi menampung keperluan 365 pesakit masih dirawat di situ.

“Kita berdepan masalah apabila bekalan air semakin terhad, makanan juga tidak cukup untuk pesakit, malah gangguan bekalan elektrik, namun TNB sudah menempatkan generatornya di sini untuk menampung bekalan kuasa.

“Yang lain-lain masih dalam proses. Permohonan sudah dibuat kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) untuk sediakan sekurang-kurangnya lima tangki air ikut kegunaan sehari di sini, manakala makanan daripada pusat kawalan operasi banjir.

“Saya harap ia sampai segera kerana tidak mahu mengganggu operasi. Buat masa ini kami masih bertahan dan paras air juga nampaknya menunjukkan sedikit penurunan,” katanya.

myMetro 29 Dis 2014


Empat hari berkampung bawah jambatan

Kota Bharu: Ketika ditemui, wanita paling tua dalam lapan keluarga itu sedang memasak hidangan tengah hari untuk kira-kira 70 anggota keluarga lain sambil dibantu saudara wanita lain.

Zaiton Mohamed, 50, dari Kampung Sireh, di sini terpaksa duduk mencangkung di sisi dapur kecilnya yang dibuat dengan beralas batu bata di atas jalan tar kerana mereka sekeluarga berteduh di bawah Jambatan Sultan Yahya Petra.

Menurutnya, sudah tiga malam mereka menginap di situ selepas rumah masing-masing ditenggelami air dan sehingga kini tidak menunjukkan tanda surut.

“Sudah empat hari tiga malam kami tidur di sini kerana pusat pemindahan sementara terdekat pun penuh orang dan makanan perlu berebut-rebut.

“Jadi kami mengambil keputusan untuk duduk di sini, buka khemah dan hampar ‘toto’, karpet nipis atau tikar sebagai alas sementara menunggu banjir surut.

“Makanan pun ada dan kami boleh masak sendiri kerana pergi cari sendiri. Ada juga yang orang lalu lalang, dia sedekah. Cukuplah untuk kami lapan keluarga,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, meskipun serba tidak selesa di situ, dia tetap gembira kerana ahli keluarganya berada di sisi.

“Memang air susah nak dapat, jadi kami jimat guna untuk minum dan masak. Kalau nak mandi kena pergi cari tempat yang masih ada air, kalau tidak begini lah... tak mandi. Kita darurat, tak ada apa,” katanya.

myMetro 29 Dis 2014


Perjalanan 45 minit jadi 6 jam

TINJAUAN udara di beberapa kawasan sekitar Kuala Krai yang masih dilanda banjir.

Kuala Krai: “Perjalanan dari Machang ke Kuala Krai sejauh 30 kilometer (km) melalui jalan darat, selalunya mengambil masa hanya 45 minit.

Bagaimanapun, ia menjadi enam jam sejak minggu lalu disebabkan banjir dengan hampir semua jalan masuk ke bandar tenggelam dan mustahil untuk sesiapa pun ke sana kecuali melalui udara.

Namun kelmarin, wartawan mencuba nasib ke bandar Kuala Krai untuk meninjau sendiri keadaan banjir selain mahu menyelami penderitaan mangsa terutama di Hospital Kuala Krai (HKK).

Wartawan memulakan perjalanan kira-kira 11 pagi ditemani seorang ahli keluarga hingga ke kawasan yang masih boleh dilalui kenderaan ringan.

Awalnya, wartawan menjangkakan perjalanan mengambil masa empat ke lima jam, namun ia menjangkau enam jam apabila tiba di anak tangga HKK tepat jam 5 petang.

Disebabkan paras air tinggi, kami meninggalkan kereta di Sekolah Menengah Kebangsaan Keroh (SMKK) dan meneruskan perjalanan dengan hanya berjalan kaki serta perlu melalui Keroh, Taman Bukit Sireh, Batu Jong dan akhir sekali di Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) Kuala Krai.

Tujuan ke pejabat MET Kuala Krai kerana wartawan ingin mengikut kumpulan sukarelawan dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) menyampaikan bantuan makanan dan ubatan ke HKK.

Jarak antara SMKK ke pejabat itu adalah 14km dan akibat tiada pilihan, kami hanya berjalan kaki selain menumpang pacuan empat roda (4x4) yang lalu lalang selain kenderaan pasukan keselamatan.

Puas berjalan kaki, kami menaiki 4x4, kemudian terpaksa menumpang perahu penduduk atau bot pasukan penyelamat.

Sepanjang perjalanan itu ada penduduk yang nekad mengambil risiko untuk ke sana demi mencari ahli keluarga selepas terputus hubungan.

Lebih menyedihkan apabila ada kanak-kanak mengutip makanan yang hanyut daripada kedai runcit berdekatan, kemungkinan besar kerana lapar.

Kami bersama-sama menaiki bot ke sana dan sebaik menghampiri pejabat MET Kuala Krai, wartawan turun dan bertemu wakil sukarelawan UPSI yang mahu ke HKK.

Disebabkan bot hampir penuh, hanya wartawan saja dibenarkan mengikut kumpulan itu dan perjalanan ke sana mengambil masa hampir sejam kerana perlu menempuh arus yang masih tidak menentu.

Tidak dinafikan, Kuala Krai bukan lagi seperti keadaan asalnya tetapi menjadi lautan yang hanya ada beberapa pulau kecil terdiri daripada bangunan tinggi iaitu sekolah dan bangunan kedai tiga tingkat.

Wartawan dapat melihat raut sedih mangsa banjir yang menghuni bangunan tinggi itu. Mereka hanya termenung dan ketakutan apatah lagi tempat mereka berlindung juga dinaiki air.

Sedih tidak perlu ditafsirkan lagi. Semangat mereka membuatkan wartawan nekad ke HKK untuk mengetahui keadaan di situ, tetapi kami singgah di Wisma Persekutuan seketika selepas 15 minit perjalanan untuk menurunkan bantuan.

Selain Wisma Persekutuan, Pejabat Tanah dan Jajahan serta mahkamah turut menjadi tempat berlindung mangsa banjir. Ada juga yang hanya berteduh di dalam kereta saja yang diletakkan di depan bangunan.

myMetro 29 Dis 2014

0 comments:

Post a Comment